Bab 1

2K 40 5
                                    

SEBAIK lampu isyarat bertukar kuning, Malik mula memperlahankan rentak pemanduannya. Hirdy di sisinya melepaskan keluhan. Jam yang melekap di pergelangan tangan dikerling. Sekali lagi keluhan dilepaskan seraya jari-jemarinya menari-nari di atas pahanya mengeluarkan bunyi yang kurang pasti untuk ditafsirkan. Malik hanya perhatikan sahaja gelagat rakannya itu. Sedari melangkah masuk ke dalam kereta lagi Malik sudah pandang Hirdy atas bawah. Gelisah semacam. Itu yang dia nampak.

Dengan membiarkan jari menari di atas paha, Hirdy lempar pandangan ke luar tingkap seketika. Mencari sesuatu yang menarik untuk diperhatikan. Dia benci berada dalam keadaan sekarang ini. Terasa seperti berada dalam kotak walaupun kotak yang mengisi tubuhnya itu mahal. Honda City!

Tiba-tiba matanya melekap seketika ke arah seorang gadis berbaju kurung bertona putih dan hijau yang sedang memimpin tangan seorang wanita yang lebih tua daripadanya melintas jalan. Angin masih melalui kerongkongnya untuk dilepaskan sebagai keluhan. Serentak itu pandangan matanya beralih kembali ke lampu isyarat di hadapannya. Masih merah. Walaupun baru beberapa minit, sudah dirasakan seperti berjam-jam.

"Kau kenapa?" soal Malik mungkin juga kerana tidak tahan melihat perilaku rakannya itu atau lebih mudah, dia rimas.

Kali ini angin yang tadinya melekat di kerengkong dihembus keluar. "Kalau macam ni, bila kita nak sampai pejabat?"

"Aik! Semangat betul kau nak masuk pejabat," usik Malik yang sesekali kakinya bermain dengan pedal brek dan minyak.

Hirdy faham akan usikan itu. Sedari semalam lagi rakan yang dikenalinya ketika di zaman universiti itu mengusiknya. Sampaikan dia kilatkan kasut pun boleh dijadikan bahan. Tapi Hirdy tidak ambil hati. Tempoh perkenalannya dengan Malik bukan sehari dua mahupun sebulan dua, sudah makan tahun.

"Ni bukan soal semangat atau tak, tapi aku memang tak suka menunggu," balas Hirdy jujur.

Bab menuggu memang Hirdy tidak suka. Dari zaman belajar lagi. Kalau terpaksa buat kerja dalam kumpulan, ada rakan sekumpulan yang lambat datang ketika hendak berbincang, dia lebih rela lakukan kajian terlebih dahulu daripada membuang masa dengan menunggu. Malik sudah masak benar dengan perangai Hirdy yang satu itu. Tapi bukan bermaksud Hirdy tidak suka membuat kerja dalam kumpulan, cuma memang dia tidak suka membuang masa atau lebih tepat menjadi punggu seperti punggu yang asyik termenung menunggu bulan jatuh ke riba itu.

Sekali lagi anak mata Hirdy disapu melihat ke bahu jalan tadi. Ke arah yang sama seperti tadi. Seperti ada tarikan untuk diperhatikan. Tiba-tiba dahinya mengerut halus. Tergamam dia seketika. Kalau tidak salah pandangan matanya tadi ada seorang gadis berbaju kurung putih hijau sedang memimpin seorang wanita separuh abad sehingga ke pembahagi jalan. Tapi apa yang dia nampak sekarang hanya wanita tua itu seorang sahaja.

Mana perempuan tu pergi? Pelik pulak aku rasa, hatinya mula bertanya.

Kerutan halus di dahi mula bertambah kasar. Hampir bercantum kedua belah keningnya yang sedikit tebal sebaik terpandang gadis berbaju kurung putih hijau itu kembali ke seberang jalan cuba memimpin seorang lelaki buta bertongkat menghampiri wanita tua yang dibiarkan di tengah jalan tadi. Setelah pasti itu gadisnya, perkara pertama yang dilihat Hirdy adalah kakinya.

Dia ni bidadari ke manusia sebenarnya? Hai takkanlah hantu pulak yang muncul siang-siang ni kan. Tapi kalau orang tak pernah pulak aku tengok baik hati macam ni. Kalau ada orang kena langgar pun biasanya yang berpusu lari semua tu bukanya nak bantu, tapi tolong tengok aje! Tapi awek ni, dah lintas, boleh patah balik pulak? Takkanlah ayah dengan mak dia pulak? soal Hirdy sendirian sambil menggaru kepalanya yang tidak gatal itu.

You've reached the end of published parts.

⏰ Last updated: Mar 30, 2016 ⏰

Add this story to your Library to get notified about new parts!

SUAMI TAK DIRANCANGWhere stories live. Discover now